31 July 2013

Resepi Telur Bistik versi Hentam

Assalamualaikum...

Semalam berbuka simple-simple je......

Jom saya nak share masakan simple saya tu....


Resepi Telur Bistik - Versi hentam kromo....
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com


Bahan-bahan:

  • 2biji telur 
  • Daging cincang
  • Sedikit garam
  • Bawang besar - potong dadu
  • 2ulas bawang putih - potong dadu
  • Sos cili
  • Sos tomato
  • Sos tiram
  • Sayur campur


Cara-cara:
  1. Pukul telur dengan sedikit garam dan lada sulah dan goreng telur dan hidangkan dalam pinggan
  2. Tumis bawang besar dan bawang putih sampai naik bau.... Minyak sikit je ye...
  3. Masukkan daging cincang sampai daging masak... Nak letak air sikit pun boleh bagi daging masak elok
  4. Masukkan mix-vege (sayur campur)... Biar sampai mix-vege masak
  5. Masukkan sos tiram, sos tomato dan sos cili....Kacau hingga sebat dan pekat
  6. Masukkan garam dan gula sikit je... Kalau tak nak masukkan pun takpe....
  7. Tutup api dan tuangkan atas telur goreng tadi.....
  8. Sedia untuk ngap dan bismillah
Itu saja... dah pukul 4ptg ni... Saya nak balik dah...

Tata

Wassalam...

29 July 2013

Resepi Koay Teaw Kungfu..... Waaaccchhhhaaaaaa!!!!!!!!!!!!!!!!

Assalamualaikum....

Dah sampai kita ke 10 malam terakhir Ramadhan... Pasti ramai yang berlumba-lumba untuk mencari malam Lailatul Qadar.....

Semalam berbuka puasa dengan Koay Teaw Kungfu... Tanpa berlengah lagi mari tengok resepi....


Inilah rupa kuah kungfunya...... 
Tak perlu nak berkungfu di dalam dapur sebab senang je benda ni...
sedap pulak tu


Koay Teaw Kungfu
Sumber : Tak ingat kat mana..hehehe
  • kuey teow
  • 2 biji telur
  • lada hitam / lada putih
  • mix seafood
  • lobak
  • 1~1setengah sudu besar tepung jagung
  • 1 cawan air
  • sayur-sayur lain (optional) (sayur2 kat rumah dah abis la pulak)
  • 1 ulas bawang putih
  • 2 biji cili padi (kalau nak lebih pedas boleh letak lebih)
  • sos tiram
  1. Pukul telur bersama garam dan sedikit lada hitam/ putih di dalam gelas.
  2. Masukkan kuey teow hingga 3/4 gelas.
  3. Tuang dalam kuali yang dah diletakkan sedikit minyak. Ratakan kuey teow supaya menjadi sedikit nipis.
  4. Balikkan supaya kedua-dua belah masak. Dah masak, masukkan dalam pinggan dan sedikit melengkung.
  5. Untuk kuah: Tumis bawang putih hingga sedikit perang. kemudian masukkan seafood mix.
  6. Tuangkan tepung jagung yang telah dibancuh dengan air dalam kuali.
  7. Masukkan sedikit lada hitam, cili padi, sedikit sos tiram, lobak dan sayur-sayuran.
  8. Biarkan kuah sedikit pekat kemudian tuangkan ke dalam pinggan berisi kuey teow tadi. (kalau nak lebih kuah boleh tambah lagi air)


Ini homemade kuih raya dari jiran...
Semalam lepak sampai pukul berapa ntah depan rumah tu...
Sampai Rizqin pergi rumah jiran sebelah takmo balik...grrrrr

K la tu aje untuk hari ni... Nak masak apa ye... Dah buntu... Rasa teringin nak makan laksa pula....

Wassalam....

25 July 2013

Berbuka Puasa Di PICC

Assalamualaikum..... Selamat Pagi...

Rupa-rupanya saya berbuka puasa di PICC... Hari tu ada ajak husband berbuka di sana tapi tak sangka lak tercapai hasrat tersebut dengan group Engineering, KLIA.... Sorry sangat sebab saya takde pun ambil gambar... Sudahnya lepas makan & solat baru gatai nak snap gambar.... Ada satu gambar best nak di kongsikan.... Itu pun husband yang snap sebabnya dia terserempak dengan orang itu saya pula solat semasa kejadian tersebut.....

So far dekat PICC catering adalah daripada EDEN jadi menu utama saya sambar dulu adalah dim sum.... Sedap tapi sos dia masin pula.... Tapi rasa macam tak puas pula makan dim sum.... hehehehehe.. Husband ambil 2 pinggan nasi, sate dan saya ambil kambing bakar.... After solat saya ambil koay teaw goreng dan ABC tapi rasanya banyak lagi yang saya tak tawaf makan padahal semua makan skit-sikit...

Saya ada 3 gambar nak dikongsikan... hehehehe.... Salah satunya makanan dua lagi tu gambar anak.... Terukkan blogger macam saya ni... Nak menyampaikan berita tapi gambarnya takde ye...

 Melebar sengih si Rizqin ni... 
Nak kata makan pun rasanya budak ni makan creamy chicken soup je...

 Koay Teaw after solat... 
Masin

Ini yang nak ditunjukkan tu...
Rizqin with KJ...
Saya mati-mati ingat dia ni penyampai berita.. 
Bukan saya je tau ada geng lagi sorang pun sama....
Hahahaha... Teruk betul kementerian pun tak kenal... 

Ok itu aje la....

Wassalam....

22 July 2013

Resepi Kari Daging Kerisik Bersama Kentang

Assalamualaikum..... Selamat Pagi.....

Hari ni puasa yang ke-13... Kejap je kan.... Lepas tu raya lepas tu raya haji pula... Lepas tu tiba-tiba dah tahun 2014 dah.... Cepatnya masa berlalu kan....

Semalam husband belikan daging... Banyak betul... Dalam kepala macam-macam nak buat dengan daging ni... Dapat buat nasi kerabu la, kari daging, daging kari kicap pun sedap ni.... hahahahaha

So semalam lepas basuh nak try masak kari daging la letak kerisik la... Try buat style mak mertua tapi tak berapa nak menjadi gak.... Tapi ok la husband cakap sedap....hahahaha

Moh tengok gambar dan resepi... Kali ni saya hentam buat sendiri je....



Resepi Kari Daging Kerisik Bersama Kentang (untuk dua orang makan)
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • Daging secukupnya - potong kecil-kecil
  • 2 ulas bawang sederhana besar - potong halus
  • 2 ulas bawang putih - potong halus
  • 2inci halia - potong halus juga
  • Rempah kari ayam/daging - letak air panas dan kacau rata dalam bekas lain
  • 2sudu kerisik - gaulkan bersama kari ayam/daging
  • bunga cengkih, kayu manis, bunga lawang, buah pelaga  (saya takde buah pelaga so tak pakai la smlm)
  • 3 cawan santan
  • 2biji kentang buang kulit dan potong 6 bagi setiap biji...
  • Garam dan gula
Cara-cara :
  1. Tumis bawang besar, bawang putih dan halia serta segala rempah ratus tu sampai naik bau dan bawang tu agak garing sedikit...
  2. Masukkan rempah kari dan kerisik yang dah dibancuh dengan air... Masak sampai naik minyaknya... Kat sini kena selalu gaulkan tak boleh tinggalkan sangat kecuali kalau kita selalu tambah air... Tambah air tu sikit je tau jangan letak banyak sangat sampai kari tu betul-betul masak dan keluar minyak...
  3. Masukkan santan... (Semalam saya letak separuh kepala parut untuk jadikan santan... so memang dah bersama air jadi saya tak tambah air dah la....)
  4. Lepas masuk santan tu masukkan daging ye... Biar sampai daging itu empuk... 
  5. Dah agak kuah tu macam pekat dan daging dah empuk masukkan kentang dan biarkan sampai kentang masak
  6. Kentang dah empuk baru masukkan garam dan gula... Kalau dah masukkan awal-awal kentang lambat empuk ye kawan-kawan...
  7. Sedia untuk dihidang

Ok tu je resepi hari ni... InsyaALLAH esok saya bagi resepi Nasi Goreng USA pula... Saya macam nak buat menu tu untuk berbuka hari ni....

K tu je la ye...

Wassalam

20 July 2013

Resepi Ayam Masak Kicap dan Cekodok Pisang

Assalamualaikum...Selamat Pagi...

Resepi hari ni untuk berbuka pada hari ke 7... Hari tu ingat tak saya ada janji nak bagi resepi so hari ni saya kongsi sebab post hari ni adalah auto post ye... hehehehehe


Resepi Ayam Masak Kicap
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 4sudu minyak
  • Ayam potong kecil-kecil (dalam 3-4 ketul besar bertukar menjadi kecil)
  • 1ulas bawang besar
  • 2sudu besar cili kering kisar
  • 1ulas bawang putih
  • 3biji cili padi
  • Kicap dalam 5sudu
  • Garam dan perasa
Cara-cara:
  1. Blend bawang besar, bawang putih, cili yang dah dikisar... Bagi sebati dengan cili kisar
  2. Masukkan minyak (jangan tunggu panas) bahan yang dah diblend dan ayam
  3. Biar sampai air bahan kisar agak kering cukup untuk buat kuah sikit.... Api sederhana besar ye jangan besar sangat nanti bau lagi bawang-bawang tu tak sedap... Biar bawang tu masak elok....
  4. Masukkan kicap dan biar seketika serta kacau rata
  5. Masukkan garam dan perasa dan cili padi..
  6. Sedia untuk dihidang



Resepi Cekodok Pisang
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com

Bahan-bahan:
  •  Pisang yang dah terlebih masak
  • 2cawan tepung gandum
  • 1sudu kecil soda bikarbonat
  • Air secukupnya
  • 1sudu kecil garam
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
  1. Lenyekkan pisang sampai lumat... tak nak bagi hancur sangat pun boleh sebab saya buat tak hancur sangat pun.
  2. Masukkan garam, tepung gandum dan soda bikarbonat ke dalam pisang lenyek tadi dan gaul rata bersama air... Jangan keras sangat jangan lembik sangat... Bagi tengah-tengah je dia punya lembik tu...
  3. Goreng ke dalam minyak yang panas dan jemputkan kecil-kecil sebab dia akan kembang dalam kuali ye....
  4. Sedia untuk di ngap..

Itu je la ye... Minggu ni saya buat kuih raya... Nanti kita post resepi kuih raya lak nanti

Wassalam.....

19 July 2013

Resepi Nasi Lemak Halba

Assalamualaikum.... Selamat Pagi...
Macam biasa la gambar masakan berbuka saya semalam bersama resepinya sekali..... Kalau ikutkan saya main buat aje tapi tengok la juga resepi dalam internet apa lagi bahan yang diperlukan untuk mewangikan nasi lemak tu....
Nasi Lemak Halba
Sumber rujukan : http://www.azlitamasammanis.com/2012/04/nasi-lemak-kampung.html
Olahan : http://sysygawk.blogspot.com
Bahan-Bahan:
  • 3 cawan beras basmathi - Pakai beras biasa dan toskan air
  • 2 cawan santan ~ dari 1 biji kelapa
  • sedikit minyak untuk menumis- saya tak guna
  • 2 helai daun pandan ~ disiat 2 dan disimpul
  • 1 batang serai ~ dititik- tak letak
  • 2 sudu teh halba
  • 1 sudu teh garam
  • 2 inc halia ~ dihiris kasar atau dititik
  • 3 ulas bawang merah ~ dihiris- tak letak
Cara-Cara:
  1. Mula-mula kita pijarkan minyak dalam periuk
  2. Tumiskanlan bawang, serai, halia, daun pandan dan halba hingga wangi
  3. Masukkan air dan santan
  4. Masak hingga mendidih
  5. Tambahkan garam dan kacau rata.
  6. Dalam periuk nasi kita tuangkan beras yang telah kita toskan airnya tadi
  7. Kemudian kita tuangkan pula santan yang telah kita masak diatas tadi
  8. Tanaklah nasi seperti biasa.
  9. Bila dah masak kacau nasi dengan menggunakan chopsyik supaya beras tak patah
  10. Nasi lemak sedia dihidangkan bersama sambal tumis, telur rebus atau telur dadar, timun, kacang goreng dan ikan bilis
Olahan dari saya sebab tak buat sama macam kat atas :
  1. Masukkan semua bahan kecuali minyak ke dalam periuk nasi dan masak macam biasa....
  2. Sedia dihidang dengan sambal, telur rebus, timun dan lauk-lauk lain...
Rasa dia sangat sedap macam makan nasi jual tu tau... Memang sedap dan terangkat walaupun saya tak tumis dulu pun takde hal sebab memang sedap... Husband siap request letak nasi banyak siap-siap.... Sahur kami pun makan ni juga... Sebabnya dah masak banyak semalam sayang lak kat nasi tu..

Ok tu aje la ye..

Wassalam

18 July 2013

Resepi Sosej Roll dan Bihun Rebus

Assalamualaikum.... Selamat pagi....

Harap semuanya sihat dan berada dibawah perlindungan ALLAH s.w.t.... Alhamdulillah bersiaran saya di hari ni ye... Berkongsi resepi yang saya masak semalam... Dan saya akan bagi juga resepi Ayam Masak Kicap dan Cucur Pisang yang saya masak kelmarin...


Bihun Rebus (untuk makan 2orang)
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • Bihun
  • Minyak dalam 4sudu untuk menumis
  • 6-7 ulas bawang putih diketuk kasar
  • Sedikit ikan bilis - agak-agak la ye
  • Ayam potong kecil-kecil
  • Sayur Kobis/Sawi kecil
  • Garam dan perasa
  • Air secukupnya

Cara-cara:
  1. Tumis bawang putih dahulu sekejap terus masukkan ikan bilis yang dah dibasuh untuk ditumis bersama.
  2. Bila bahan tumis dah naik bau dan bawang putih dah coklat-coklat sikit masukkan ayam dan biarkan sekejap.
  3. Lepas tu masukkan air dan biar sampai menggelegak.
  4. Dah menggelegak tu masukkan bihun... Biarkan sampai mendidih lagi sekali
  5. Baru masukkan sayur, garam dan perasa....
  6. Sedia dihidang bersama sambal kicap
Bihun sup ni elok la masak lagi 20minit sebelum berbuka... Makan panas-panas sedap tau.....


Sosej Roll
Sumber : http://sysygawk.blogspot.com

Bahan-bahan:
  • 6keping roti
  • 6ketul sosej
  • 1biji telur
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
  1. Penyekkan roti dengan kayu gelek la kan... Kalau tak buang tepi pun takpe sebab saya tak buang pun tepi tu.
  2. Pastu letak sosej dan bulatkan ikut size sosej tersebut.. Semalam saya beli sosej ayamas cheese dan mushroon.
  3. Pukul telur dan kacau rata then panaskan minyak...
  4. Celup roti kedalam telur yang dah dipukul terus masuk dalam minyak panas... Masak sekejap je tau dah agak-agak coklat angkat kang rentung lak nanti
  5. Sedia dihidang dengan sos dan mayonis...


Ok itulah makanan berbuka saya semalam....

Wassalam

17 July 2013

Menu Berbuka Puasa Ke-7 dan Resepi Buttermilk Prawn Nestum

Assalamualaikum..... Selamat Pagi Semua....

Korang sihat? Saya sakit perut dari pagi semalam tapi tak tahu apa yang buatkan saya jadi macam ni.... Hari ni pun macam memulas-mulas je lagi.... Tekak pun rasa kering padahal dah 4 gelas air masak saya minum sahur tadi....

Cerita pasal Menu berbuka semalam saya tengok blog kak LieyaLatif dia ada buat Buttermilk Prawn Nestum.... Macam sedap je... So balik tu godeh peti ada udang tapi cheese dan susu cair takde ganti susu segar....

Jom tengok gambar berbuka semalam....

Buttermilk prawn nestum,
Ikan kerisi goreng,
Ayam masak kicap
Cucur pisang hangit sikit...

Buttermilk udang saya tu tak berkuah sebab saya takut muak susu tu... Saya anti susu ye kawan-kawan....huhuhuhu... Jadi letak sikit dan dalam kepala masa tu takpe la bagi ada kuah sikit je tapi lepas letak udang terus kering kuahnya...hahahaha....

Jom tengok resepi lak


Resepi Buttermilk Prawn Nestum
Sumber dari : Lieya Latif
Edit : Saya sendiri

Bahan-bahan :
  • udang (dibuang kulit, tinggalkan ekor & buang saraf kat belakang)
  • tepung jagung (3 sudu besar, lebih lagi best sbb udang kite garing nanti)
  • tepung gandum (dua sudu besar) - tak letak
  • serbuk kunyit/serbuk perasa pasti sedap/lada putih
  • telur putih(utk celup udang)
  • bawang putih (ditumbuk)
  • beberapa helai daun kari
  • cili padi (hiris nipis)
  • susu cair (pakai krimer sejat tau lagi sedap) - takde guna susu segar je
  • cheese sekeping - takde
  • nestum 
  • butter/majerin
  • minyak untuk menggoreng
  • garam & ajinomoto
Cara-caranya :
  1. Perap udang yg disiang tadi dengan serbuk pasti sedap, lada putih dan kunyit sikit....
  2. Agak-agak dah serap dalam 10minit macam tu... Panaskan minyak, sementara nak tunggu minyak panas celup udang dgn telur putih, lepas tu lumurkan tepung gandum dan tepung jagung yg telah dicampur.... buat satu-satu tau,nanti tak cantik la udang tu 
  3. Goreng dlm minyak yg panas....agak-agak le dah garing masak leh le angkat.... 
  4. Lepas tu panaskan butter atau majerin dlm dua sudu besar (bergantung pada jumlah udang la)  
  5. tumis bawang putih, cili padi ngan daun kari sampai naik bau... 
  6. Agak-agak dah naik bau, masukkan susu cair.... 
  7. Agak-agak dah mengelegak, letak sekeping cheese....biar sampai cheese tu cair tau....sentiasa kaco ye.... 
  8. Masak la sampai kuah pekat .... Ada yang letak tepung untuk bagi pekat tapi saya tak letak sebab menurut Kak Lieya udang tu dah salut dengan tepungkan so dia akan pekat lepas tu....  
  9. Bila dah pekat, boleh la angkat .... tabur nestum bila dah tutup api 
  10. Sedia untuk dihidang panas-panas 

Disebabkan sekarang ni puasa tak boleh nak makan terus panas-panas Kak Lieya dan saya cadangkan masak dalam pukul 7.15 keatas.... Biar ngam-ngam azan kita siap masak so lagi sedap... Semalam saya tak tengok jam dulu dan main bedal je masak jadinya makan sejuk-sejuk la sedap tu memang sedap tapi kalau panas lagi mengancam punya....hehehehe

Sahur pagi tadi nasi goreng je.... Tak tahu dah nak buat apa....

Rasa macam menu berbuka hari ni bihun rebus dengan cucur pisang je la kot... Pukul 6.30 baru start masak nanti.... Hari ni mood macam malas sikit...hahahaha

Tu je la untuk hari ni ye..

Wassalam 

16 July 2013

Sahur hari ke 6 & 7

Assalamualaikum.....

Sahur simple saya hari ke 6 & 7 adalah lebih kurang sama... Cuma hari ni saya tambah sup ayam baki buat Soto masa berbuka semalam... Gambar soto tak sempat snap so takde resepi la hari ni ye... Ikan bilis goreng tak perlu resepi kan ;p hahahaha.... Ok jom tengok gambar...

Gambar sahur hari ke 6
Ini antara menu terhangat kat rumah sebab ada ikan bilis dah memadai bagi suami...
Kejamkan bini bagi makan nasi ngan ikan bilis je kan....

Gambar sahur hari ni saya tak sempat nak snap sebab Rizqin bangun ngam-ngam lepas saya masak... Dengan Rizqin kami bersahur hari ni.. Dia minta nasi dan sup... Lepas tu ajak dia sambung tidur, tak mahu... Jadinya agak kelam-kabut sikit pagi ni sebab dia nak ikut sama mandi nak mandikan kereta dia apa semua last sekali tak jadi mandi sebab sejuk....miahahahaha......

Lauk sahur hari ni sup ayam, ikan bilis goreng dan sayur pak choy sos tiram....

Tu je hari ni....

InsyaALLAH ada benda yang saya buat saya akan kongsi resepi ye....

Wassalam

15 July 2013

Menu Berbuka di Hari ke-5 dan Resepi Tauhu Sumbat Ayam

Assalamualaikum..... Selamat Pagi....

Kembali menyihatkan diri...... Alhamdulillah syukur sangat-sangat sebab dah sihat dapat la update blog kan..

Seperti yang dijanjikan saya akan upload gambar atau menu berbuka puasa saya serta resepi baru (yang saya belum letak lagi dalam blog) akan saya siarkan kat sini... Sumber yang saya ambil semua dari internet dan dengan bernafsunya saya sampai tak tahu nak masak apa untuk berbuka sebab menu yang saya pilih adalah sedap dimata saya...... DANG!!!!!

Meh tengok gambar dulu ye....

Telur goreng dadar plus baki tauhu sumbat ayam.....

Jiran bagi Udang masak lemak umbuk kelapa..


RESEPI TAUHU SUMBAT AYAM / STUFFED TOFU

Bahan-bahan ( 2-3 orang )
  • 3-4 keping tauhu (digaul bersama sedikit garam)
  • 2-3 ekor udang basah (direbus dan dicincang) - saya letak ayam
  • 1/2 labu bawang besar (dihiris dadu kecil)
  • sedikit lobak merah (dihiris dadu kecil)
  • 1/2 sdt serbuk lada hitam
  • 1/2 biji cili merah (dibuang biji dan dihiris dadu) - tak letak pun
  • 2 helai daun bawang (dihiris)
  • 1 sdt lada sulah
  • garam secukupnya
  • 1 biji telur (dipukul sedikit)
Cara-cara
  1. Goreng tauhu sehingga keperangan tetapi jgn sampai masak. Kemudian dibelah 2 dan keluarkan isinya. Lenyek2kan isi tauhu tersebut.
  2. Gaulkan isi tauhu bersama semua bahan di atas kecuali telur dan sumbatkan semula ke dalam tauhu tadi. 
  3. Celupkan tauhu ke dlm telur dan gorengkan sehingga masak. 
  4. Hidangkan bersama sos cili. 
  5. Siap

 Mudah dan cepat siap......


K la tu je.... jumpa esok pula ye...


Wassalam

09 July 2013

Selamat Berpuasa

Assalamualaikum.....

Esok puasa kan? Dah plan nak masak sahur apa? Saya masih blur...

1st time nak masak sahur sebelum ni memang tak pernah bangun masak sahur pun... DANG!!!!!! Dan ini kali pertama even dah bernikah 4tahun tapi ini kali pertama akan bangun masak sahur... Husband suruh masak malam yang berat esok pagi tinggal panaskan aje.... hehehehe... Good Idea dan sangat-sangat memahami... Dia tahu bininya pemalas....

So kejap lagi pi cari lauk basah sat.... Cadang-cadang nak buat Daging Rebus Air Asam je..... Resepi insyaALLAH esok... Badan tengah rasa tak sedap ni elok la makan yang masam masin n manis + pedas... Kombinasi yang superb... *Ceh perasan*

Lagi takkan daging je kan...... Masak telur dadar la kot.... Sahur untuk esok buat ala kadar je la dulu.... Lepas tu kita adventure sikit.... *Teringin nak masak ayam percik kuah putih tu*

Apa lagi ek????

Di sini saya nak ucapkan selamat berpuasa... Semoga ibadah berpuasa kali ini lebih baik dan bertambah baik.... Saya doakan korang semua baik-baik saja menjalani ibadah puasa.....

"Ya ALLAH, Kau permudahkan segala urusan kami bagi menjalani ibadah puasa kali ini, Lapangkanlah pintu rezeki kami seluasnya, ampunilah dosa-dosa kami.... Kuatkan kami menghadapi segala rintangan dan dugaan serta cabaran, jadikan kami manusia yang taat dengan segala perintahMu dan jauhilah kami dari segala laranganMu....." ameen

Wassalam...

-Nadiah-

Floria, Putrajaya

Assalamualaikum....

Secara cepat dan ringkas mengenai lawatan saya ke Floria Putrajaya... Time ni jerebu tak teruk lagi..... Tapi memang best.. Rizqin semua tempat dia nak masuk tapi tak banyak sangat la gambarnya sebab tak semua tempat saya ambil.... Ibu saya uruskan landscape bahagian Sekolah dan University.. Kalau korang pergi tempat tu sangat-sangat kreatif tapi sayang saya tak snap gambar pun.... Jom tengok gambar....

Baru sampai...

Anak manja suruh ayah dukung...

tempat pertama singgah

yeay... cantiknya

tepuk tangan...

dan lagi....

the view...cantikkan

Rzqn pakai topeng yang longgar...

dengan meriam

cabut lak....

hiasan sampai ke tanah cantik...








lepak sini minum air dan aiskrim

rizqin dah comot


















bila nak balik ni???



persembahan dari anggta tentera

hasil belian - bunga biru - bunga dia boleh buat nasi kerabu....hahaha

ok tu je.... Malas nak taip

Wassalam

Daaaaa

03 July 2013

Bahang Ramadhan

Assalamualaikum......

Bahang Ramadhan makin terasa....... Korang rasa tak?? Apa persiapan yang korang buat untuk sambut puasa ni? Saya belum mula lagi hari Sabtu ni InsyaAllah akan memulakan pembeliannya....hahahahaha

Dalam kepala just nak masak simple-simple je bila berbuka taknak kenyang sangat.. Cuma waktu bersahur tu kena berat sikit... Mungkin nasi la kan.... Cuma kena cari menu yang mampu membuatkan selera makan diwaktu sahur... Biasa la makan pagi-pagi memang kurang seleranya... Ada cadangan menu tak?

Kalau kat rumah umi biasanya umi buat daging rebus asam.... Rasa masam,masin dan pedas lepas tu bau bawang merah masuk dalam kuah asam lagi menambatkan selera....

So untuk rumah sendiri saya tak pasti lagi... Husband of course la suka kari.... Saya failed masak kari.... hahahaha... Dah 2kali buat masih lagi failed tapi saya belum la sampai tahap give up dan saya akan cuba sampai dapat yang sedap gila..... Kalau masak kari or berat-berat saya akan masak malam la... Time sahur just panaskan aje....

Oh semalam saya buat Ikan Patin masak tempoyak.... Jiran kasi ikan hasil memancing....Sedap betul lama tak makan ikan tempoyak ni.... Tak bau hanyir pun..... Nanti ini akan jadi salah satu menu dibulan puasa tapi tukar dari ikan kepada ayam... Ambil resepi dari kawan kolej... hehehehehe......

nak resepi klik sini
nampak tak ikan patin dok berenang-renang ketepian ;p

Oh apa lagi ye... Jangan lupa download waktu imsak dan maghrib untuk bulan ni ye... Saya baru terhegeh-hegeh nak download.. hahahaha... Baru teringat...

Tahun ni takde buat jualan kat bazar Ramadhan..... 

Ok tu je la...

Selamat Berpuasa ye kawan-kawan...

Wassalam